Mesti ramai yang tertanya tentang apa itu umrah DIY. Tahukah anda ibadah umrah DIY?
Umrah DIY adalah umrah yang dilaksanakan tanpa menggunakan syarikat agensi atau mana-mana pakej yang tersedia di Malaysia.
Disebabkan ramai yang tak tahu tentang umrah DIY ini, jadi kami ingin berkongsi kepada anda tentang apa itu umrah DIY dan kelebihan mengerjakan umrah secara DIY.
Apa itu Umrah DIY
DIY adalah singkatan bagi Do It Yourself.
Ia berasal daripada perkataan English iaitu persendirian.
Kenapa Dipanggil Umrah DIY?
Kebiasaannya, para jemaah yang ingin pergi menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci mengambil pakej yang ditawarkan oleh mana-mana individu mahupun syarikat agensi yang berdaftar.
Jadi, semua urusan sebelum dan ketika berada di Tanah Suci Makkah dan Madinah akan diuruskan sepenuhnya oleh agensi yang berdaftar.
Berbeza dengan Umrah DIY, semua urusan berkaitan dengan ibadah umrah diuruskan sendiri oleh individu. Semua urusan perlu diatur sendiri bermula dari penempahan tiket penerbangan sehingga pulang ke Malaysia.
Bagi umrah DIY, tiada mutawif atau pegawai yang akan menguruskan perjalanan mengerjakan umrah. Oleh itu, individu perlu merancang jadual perjalanan bagi memudahkan pergerakan semasa berada di Tanah Suci.
Siapakah Yang Sesuai Melakukan Umrah DIY
Umrah DIY biasanya dilakukan oleh para jemaah yang telah mengerjakan umrah lebih dari tiga kali. Ini kerana mereka sudah tahu tentang prosedur di lapangan terbang, hotel, dan masjid-masjid di Makkah dan Madinah.
Selain itu, umrah DIY sesuai bagi jemaah yang mempunyai perancangan masa tersendiri untuk beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah semasa berada di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram.
Oleh itu, jemaah yang ingin mengerjakan umrah secara DIY perlulah merancang dan mengatur jadual awal supaya perjalanan dalam mengerjakan ibadah umrah berjalan dengan lancar.
Kelebihan Mengerjakan Umrah Secara DIY
Antara kelebihan yang anda peroleh jika mengerjakan umrah DIY adalah:
1. Bebas melakukan aktiviti-aktiviti ibadah
Sepanjang berada di Tanah Suci, anda bebas melakukan aktiviti-aktiviti ibadah tanpa terikat dengan sesiapa.
Jadi, senang untuk anda melakukan ibadah pada bila-bila masa sahaja, seperti beriktikaf, solat sunat di Masjid dan lain-lain.
2. Dapat mengatur masa ziarah mengikut kelapangan masa
Anda boleh mengatur masa yang sesuai terlebih dahulu untuk melakukan ibadah ziarah mengikut kelapangan masa.
Justeru itu, anda perlu mengatur dan membuat jadual yang lengkap sepanjang keberadaan di Tanah Suci.
3. Jadual boleh dirancang lebih fleksibel
Anda boleh merancang jadual pergerakan menjadi kurang padat. Ini sesuai bagi jemaah yang ingin pergi bersama ahli keluarga kerana ia lebih fleksibel.
Anda juga boleh tetapkan hari dan memilih tempoh untuk bermalam di Makkah dan Madinah.
4. Perjalanan lebih privasi
Umrah DIY lebih privasi berbanding dengan pakej Umrah biasa. Umrah biasa bergerak dalam satu kumpulan semasa mengerjakan umrah.
Jika mengerjakan umrah secara DIY, anda hanya bergerak bersama kumpulan anda sahaja sama ada keluarga, saudara mara, atau rakan-rakan.
Langkah-Langkah Persediaan Awal Bagi Umrah Secara DIY
Langkah-langkah persediaan awal bagi umrah DIY adalah:
1. Membuat penempahan tiket kapal terbang
Anda boleh survey tiket kapal terbang di semua airlines seperti Saudia, MAS, AirAsia dan lain-lain yang menyediakan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Jeddah.
Untuk tiket penerbangan, anda perlu membuat penempahan tiket awal sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Untuk mendapatkan harga yang murah dan mampu milik, anda perlu sentiasa follow up ke semua website airlines untuk dapatkan perkembangan tiket semasa.
2. Menempah hotel penginapan di Makkah dan Madinah
Penting ke cari hotel yang dekat dengan masjid? Jawapannya adalah ya. Ini bagi memudahkan anda untuk mengerjakan ibadah tanpa perlu berjalan jauh.
Seperti yang sedia maklum, terdapat ratusan hotel yang terdapat di Makkah dan Madinah. Banyak hotel yang menawarkan harga yang berbeza.
Jadi, anda perlu survey dan menempah hotel penginapan yang berdekatan dengan masjid bagi memudahkan pergerakan anda untuk beribadah di masjid.
3. Menempah pengangkutan di Tanah Suci
Setelah sampai di Airport Jeddah, jemaah perlu menaiki kenderaan yang ditempah untuk bergerak ke Makkah atau ke Madinah.
Oleh itu, anda perlu menempah pengangkutan seperti teksi atau uber bagi memudahkan perjalanan anda dihantar terus ke hotel penginapan.
4. Membuat permohonan visa
Visa bagi mengerjakan umrah sangat penting. Ia merupakan satu dokumen rasmi beri izin untuk tinggal di Arab Saudi.
Jadi, anda perlu memohon visa terlebih dahulu sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Anda boleh apply visa di laman web rasmi kerajaan Arab Saudi di https://visa.visitsaudi.com/.
5. Membuat travel insurans
Sebelum berangkat ke Tanah Suci, penting untuk anda mengambil travel insurans.
Ia bagi memastikan keselamatan anda terjamin jika ada sebarang masalah berlaku sepanjang keberadaan anda di sana.
6. Menghadiri kursus umrah
Anda boleh menghadiri kursus ibadah umrah yang disediakan dengan menempah nama dan tarikh yang bersesuaian.
Dengan ada kursus umrah, anda dapat menimba ilmu berkaitan umrah yang dikongsikan oleh mutawif yang terlatih dan berpengalaman.
Anda juga boleh bertanya terus kepada mutawif jika ada sebarang persoalan berkaitan dengan umrah.
Perbezaan Antara Umrah Agensi Dan Umrah DIY
Perbezaan antara umrah agensi dan umrah DIY adalah seperti:
1. Perkhidmatan Mutawif dan Pengangkutan
Umrah Agensi: Perkhidmatan mutawif dan pengangkutan disediakan.
Umrah DIY: Tiada perkhidmatan mutawif dan pengangkutan disediakan.
2. Jadual Perjalanan Semasa Di Makkah dan Madinah
Umrah Agensi: Jadual perjalanan dirancang oleh agensi.
Umrah DIY: Jadual perjalanan dirancang persendirian.
-
Pengurusan dan Penginapan Hotel
Umrah Agensi: Pengurusan dan penginapan dikendali sepenuhnya oleh agensi.
Umrah DIY: Pengurusan dan penginapan dikendali sepenuhnya sendiri.
Kesimpulan, Umrah DIY amat sesuai bagi jemaah yang mencari pakej yang lebih fleksibel dan menawarkan privasi untuk keselesaan mereka semasa keberadaan di Tanah Suci.
Daftar Umrah Bersama Kami
Anda berhasrat untuk mengerjakan umrah? Jadikan Cuti Umrah sebagai pilihan anda.
Kami menyediakan pakej umrah terbaik dengan harga yang rendah bermula RM6,788.
Setiap perjalanan dan pergerakan telah kami aturkan khas untuk anda. Kami menyediakan tiket penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Madinah.
Selain itu, pengurusan visa umrah akan diuruskan sepenuhnya oleh ejen berpengalaman. Hotel 5 bintang atau setaraf disediakan khas untuk anda.
Pakej ini juga termasuk dengan insurans dan perlindungan takaful untuk keselamatan anda.
Jadi, apa tunggu lagi. Daftarlah sekarang.