larangan ihram

Larangan Ketika Ihram

Tahukah anda tentang apa itu larangan ketika ihram? Apa yang dimaksudkan dengan ihram?
Ihram merupakan satu perkara wajib bagi umrah atau haji. Ia adalah perbuatan menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang telah ditentukan Allah S.W.T selama mana masih berada dalam keadaan ihram.
Kami dari Cuti Umrah ingin kongsikan kepada anda tentang larangan ketika ihram semasa menunaikan umrah. Nak tahu lebih lanjut, boleh teruskan baca artikel ini.

 

Larangan Ketika Ihram Semasa Menunaikan Umrah

Secara umumnya, pantang larang ketika ihram boleh dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu:

  1. Larangan ihram yang dikhususkan kepada lelaki sahaja.
  2. Larangan ihram yang dikhususkan kepada perempuan sahaja.
  3. Larangan ihram yang umum bagi lelaki dan perempuan.

Pertama: larangan ihram yang dikhususkan kepada lelaki sahaja

Antara larangan ihram bagi jemaah lelaki adalah seperti:

1. Memakai pakaian berjahit atau bersarung seperti baju, seluar, kain pelikat dan sebagainya

Jemaah dilarang untuk memakai pakaian berjahit atau bersarung seperti baju, seluar, kain pelikat dan sebagainya.

Jemaah boleh memakai kain tuala atau kain pelikat lepas yang tidak bercantum antara dua penjuru dengan cara tidak disarungkan ke badan.

 

2. Menutup kepala atau sebahagian daripada kepala

Jemaah dilarang untuk menutup kepala dengan cara meletakkan apa-apa kain atau penutup di atas rambut dan kulit kepala atau sebahagian daripadanya.

Contohnya menutup kepala dengan memakai songkok, kopiah, serban, kain ihram dan sebagainya.

 

Kedua: larangan ihram yang dikhususkan kepada perempuan sahaja

Larangan ihram bagi jemaah perempuan adalah sama seperti menunaikan solat iaitu menutup muka.

Jika seseorang berada dalam ihram menutup muka dengan kain tudung kerana terlupa atau tidak sengaja, hendaklah dia menanggalkan kain dengan segera apabila dia ingat atau diberi peringatan.

Hukumnya tidak berdosa dan tidak dikenakan dam. Jika melengah-lengahkan dalam keadaan dia mampu melakukannya, maka dikenakan dam.

 

Ketiga: larangan ihram yang umum bagi lelaki dan perempuan

Larangan ihram bagi jemaah lelaki dan perempuan adalah seperti:

1. Memakai sarung tangan

Seseorang yang berada dalam ihram dilarang memakai sarung tangan tanpa ada keperluan khusus yang terdesak, seperti penyakit pada tangan ataupun keperluan lain-lain.

Jemaah boleh melindungi tangan disebalik kain tudung atau kain ihram.

 

2. Memakai wangi-wangian

Diharuskan menggunakan ubat gigi, sabun dan syampu. Niat tujuan adalah untuk menjaga kebersihan dan kesihatan diri.

Penggunaan deodoran semasa dalam ihram adalah dilarang kerana ia termasuk di dalam perkara berwangi-wangian.

 

3. Memakai minyak pada bahagian tubuh

Seseorang yang berada dalam ihram dilarang memakai minyak pada bahagian tubuh seperti kepala,janggut dan semua bulu di muka.

Jika terlupa atau tidak sengaja, hendaklah ia menghilangkan kesan minyak itu dengan segera apabila dia ingat atau diperingatkan.

Hukumnya tidak berdosa dan tidak dikenakan dam. Jika melengah-lengahkan dalam keadaan dia mampu melakukannya, hukumnya berdosa dan dikenakan dam.

 

4. Menanggalkan rambut atau bulu daripada mana-mana anggota badan

Haram bagi jemaah menanggalkan rambut atau bulu walaupun hanya sekerat daripada rambut.

Jika menanggalkan rambut atau bulu secara sengaja ataupun tidak atau terlupa, tetap dikenakan dam.

Jika rambut atau bulu tertanggal dengan sendiri, maka tidak dikenakan dam.

 

5. Mengerat atau memotong kuku

Memotong kuku sama ada banyak atau sikit sama seperti hukum memotong rambut.

Jika kuku itu terkopak atau rasa sakit yang terpaksa dipotong, maka diizinkan untuk memotong kuku.

 

6. Memotong/menebang/mengerat/mencabut pokok-pokok di Tanah Haram Makkah

Menurut mazhab Imam Syafi’i, jemaah tidak boleh mencabut pokok daripada tanah haram keluar ke tanah halal.

Jika terlanjur membawa keluar pokok daripada tanah haram, maka hendaklah beristighfar, kemudian kembalikan pokok tersebut di mana-mana bahagian di tanah haram jika berkemampuan.

Jika tidak mampu untuk pergi ke tanah haram, boleh wakilkan kepada sesiapa sahaja yang dipercayai untuk meletakkannya kembali di mana-mana bahagian di tanah haram.

Jika tidak mampu juga, maka letakkanlah pokok tersebut di mana-mana tempat yang bersih.

 

7. Memburu binatang

Para jemaah tidak dibenarkan untuk memburu binatang yang halal dimakan sewaktu berihram dan sepanjang keberadaan di Tanah Suci.

Firman Allah S.W.T dalam al-quran, surah Al-Ma’idah, ayat 95:

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا لَا تَقْتُلُوا الصَّيْدَ وَاَنْتُمْ حُرُمٌ

 

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu membunuh haiwan buruan, ketika kamu sedang ihram (haji atau umrah).

 

8. Lakukan permulaan persetubuhan

Para jemaah dilarang melakukan permulaan persetubuhan sama ada dalam bentuk perkataan, perbuatan, layanan isyarat tubuh atau sebagainya.

9. Bersetubuh

 

10. Berkahwin atau mengahwinkan atau menerima wakil kahwin

Menurut Imam Syafi’i, seseorang yang dalam keadaan ihram tidak boleh mengadakan perkahwinan, mengahwinkan orang dan menerima wakil kahwin.

Berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W, riwayat Usman bin Affan yang bermaksud,

“Orang yang berihram tidak boleh berkahwin dan mengahwinkan orang lain”.
[Riwayat Muslim, No:1049]

 

Jika akad nikah dilakukan, maka akad tersebut dikira tidak sah.

 

Apakah Hikmah Terbesar Wujudnya Larangan Ihram 

Antara hikmah terbesar kenapa terdapat larangan semasa ihram dalam ibadah umrah atau haji adalah Allah S.W.T ingin mendidik hambanya untuk disiplin dan peka dalam Ibadah.

Jadi, sebagai peringatan, anda perlu sentiasa berjaga-jaga dan mengelakkan diri agar tidak melakukan larangan-larangan di atas. Moga memperoleh ibadah umrah yang mabrur.

 

Untuk mendapatkan keterangan lanjut berkaitan dengan ibadah umrah. Boleh layari kami di laman sesawang www.cutiumrah.com.

 

Tunaikan Ibadah Umrah Bersama Kami

Anda berhajat untuk mengerjakan umrah? Pilihlah Cuti Umrah.

Dengan Cuti Umrah, anda akan menaiki penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Madinah.

Selain itu, pengurusan visa umrah juga akan diuruskan sepenuhnya oleh ejen berpengalaman. Hotel 5 bintang atau setaraf akan disediakan khas untuk anda.

Jangan risau, terdapat insurans dan perlindungan takaful dalam pakej umrah yang kami sediakan. Anda juga akan diiringi oleh mutawif yang berpengalaman dan terlatih.

 

Jadi, apa tunggu lagi, daftarlah sekarang.

1 thought on “Larangan Ketika Ihram”

  1. Adakah larangan ketika ihram semasa menunaikan umrah, sama dengan larangan ketika ihram semasa menunaikan haji? Ada perbezaan x?

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *