Seringkali terdengar akan jemaah melakukan aktiviti umrah ziarah. Akan tetapi, tahukah anda tentang apa itu umrah ziarah Makkah?
Umrah ziarah adalah satu perjalanan mengunjungi tempat-tempat yang bersejarah yang berada di Tanah Suci.
Jadi, kami dari Cuti Umrah ingin berkongsi kepada anda tentang umrah ziarah dan tempat-tempat yang sering dikunjungi para jemaah umrah dan haji semasa berada di Tanah Suci Makkah.
Nak tahu lebih lanjut, stay tuned dan baca artikel ini.
Umrah Ziarah Ada Berapa?
Bagi jemaah yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci, ia adalah satu pengalaman ziarah yang amat menyeronokkan dalam mengerjakan ibadah umrah.
Umrah ziarah boleh dibahagikan kepada dua iaitu, umrah ziarah di Makkah dan umrah ziarah di Madinah.
Pada bahagian ini, kami akan menerangkan terlebih dahulu tentang umrah ziarah di Makkah.
Umrah Ziarah Di Makkah
Bagi perjalanan ziarah mengunjungi kota suci Makkah, terdapat dua bahagian iaitu:
- Ziarah dalam Makkah
- Ziarah luar Makkah
Ziarah Dalam Makkah
Antara tempat-tempat ziarah dalam Makkah:
1) Masjidil Haram
Masjidil Haram terdapatnya Baitullah (Ka’bah) iaitu kiblat umat Islam dalam mengerjakan solat dan ia terletak di Kota Makkah Al-Mukarramah, Arab Saudi.
Ka’bah pertama dibina oleh Nabi Adam A.S dengan bantuan para malaikat. Kemudian, Allah S.W.T perintahkan Nabi Ibrahim A.S untuk membaiki Ka’bah. Dengan bantuan anaknya, Nabi Ismail A.S, mereka membaiki Ka’bah dan membina masjid di sekitar Ka’bah.
Setelah Ka’bah siap dibangunkan, pembangunan Masjidil Haram dilakukan bertujuan untuk memudahkan umat Islam melaksanakan ibadah di Tanah Suci.
2) Jabal Qubais
Jabal Qubais adalah gunung atau bukit yang terletak di sebelah timur Makkah yang berdekatan dengan Masjidil Haram.
Gunung Abi Qubais menjadi saksi beberapa sejarah iaitu pembuktian salah satu mukjizat Nabi Muhammad S.A.W, iaitu terbelahnya bulan.
Kafir Quraisy telah meminta Nabi Muhammad S.A.W membuktikan kenabiannya agar baginda S.A.W membelah bulan. Dengan kekuasaan Allah S.W.T, bulan itu terbelah menjadi dua dengan tunjukan jari baginda S.A.W.
Peristiwa ini disaksikan oleh kaum musyrikin Makkah bahawa bulan itu terbelah dua, belahan pertama berada di atas Jabal Qubais, dan belahan kedua bergerak kearah Jabal Qaiu’an atau Qu’aiqu’an yang terletak berhadapan dengan bukit Marwah.
3) Rumah Al-Arqam (Darul Arqam Bin Abi Al-Arqam)
Sebelum Islam tersebar, Rasulullah S.A.W berdakwah secara bersembunyi di salah satu rumah sahabat. Rumah pertama yang dipakai menyampaikan risalah Islam adalah rumah anak muda bernama Arqam bin Abi Arqam.
Rumah Al-Arqam berada di tempat yang tersembunyi di bukit Safa. Di sinilah, Rasulullah S.A.W mula berdakwah dan mendirikan solat bersama-sama para sahabat yang beriman.
Selepas Sayyidina Umar al-Khattab memeluk Islam, barulah umat Islam beramai-ramai mendirikan solat di Masjidil Haram.
4) Rumah kelahiran Rasulullah S.A.W
Nabi Muhammad S.A.W lahir pada tahun 571 Masihi di rumah datuknya, Abdul Muthalib yang kini menjadi perpustakaan.
Ia terletak di Syuaib Ali di perkampungan Suqul Lail jalan al-Malik. Perpustakaan itu diberi nama Maktabah Makkah Mukarramah.
Keputusan menjadikan Maulid Nabi Muhammad S.A.W sebagai perpustakaan adalah bertujuan melindungi akidah serta keyakinan umat Islam daripada syirik kepada Allah S.W.T.
5) Perkuburan Ma’la
Perkuburan Ma’la adalah pemakaman keluarga besar Bani Hasyim, keluarga Rasulullah S.A.W, kemudian dijadikan sebagai pemakaman umum.
Ia juga dikenali dengan nama Jannatul Ma’la bermaksud syurga al-Ma’la. Perkuburan ini terletak sekitar 1-2 km arah utara dari Masjidil Haram.
Al-Ma’la terbentang di dataran tinggi bukit Jabal As-Sayyidah, perkampungan Al-Hujun. Di sinilah bersemadinya isteri Rasulullah S.A.W, Sayyidatina Khadijah, para sahabat dan para tabi’in yang wafat di Makkah.
6) Masjid Jin
Masjid Jin terletak tidak jauh dari perkuburan Ma’la. Masjid Jin juga disebut dengan Masjid Al Bai’ah.
Nama masjid ini diambil dari suatu peristiwa yang berhubungan dengan para bangsa jin. Nabi Muhammad S.A.W menulis surat ke Ibnu Mas’ud ketika menerima rombongan jin yang ingin membaiat dengan Nabi Muhammad S.A.W.
Nabi Muhammad S.A.W memujuk jin-jin untuk memeluk agama Islam. Surah Jin diturunkan merujuk kepada peristiwa ini dan memberitahu akan peristiwa alam ghaib.
7) Masjid Pokok (Masjid Syajarah)
Masjid pokok adalah sebuah masjid di Makkah yang terletak tidak jauh daripada Masjidil Haram ke arah Rozzah (padang Arafah).
Inilah tempat Nabi Muhammad S.A.W dikunjungi beberapa orang Arab. Mukjizat yang diturunkan Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.W boleh berbicara dengan pokok.
Dikisahkan, Nabi Muhammad S.A.W memanggil sebuah pohon yang terletak di Masjid Syajarah, lalu pohon tersebut berjalan mendekatinya. Kemudian, Nabi Muhammad S.A.W meminta pohon itu kembali semula ke tempat asalnya.
8) Perkampungan Bani Hashim
Kerajaan Bani Hashim bertapak di Jordan, adalah daripada keturunan Rasulullah S.A.W. Ini berlaku dengan terjadinya pemulauan perkampungan Bani Hashim.
Ia adalah sebuah peristiwa pemboikotan bertujuan meletakkan tekanan terhadap Bani Hashim supaya menarik semula perlindungan terhadap Nabi Muhammad S.A.W. Ia juga mengisytiharkan bahawa tiada sesiapa boleh berkahwin atau menerima wanita serta tidak boleh berjual beli dengan mereka.
Akhirnya, pemboikotan yang berlangsung selama tiga tahun. Kemudian, dimansuhkan kerana rakyat Makkah berasa kasihan akan penderitaan terhadap Bani Hashim.
Ziarah Luar Makkah
Antara tempat-tempat ziarah luar Makkah adalah:
1) Ja’ranah
Ja’ranah adalah nama sebuah perkampungan Wadi Saraf (lembah Saraf) yang dikelilingi bukit-bukit batu. Masjid Ja’ranah terletak kira-kira 20-25 kilometer dari Makkah.
Masjid ini digunakan untuk miqat dan berihram bagi penduduk Makkah. Di sini juga, Rasulullah S.A.W pernah meninggalkan para tawanan dan harga rampasan perang yang diambilnya dari Hawazin, dalam peperangan Hunain pada 8 Hijrah.
Lalu, datang para utusan Hawazin memohon kepada Rasulullah S.A.W agar membebaskan para tawanan. Di Ja’ranah juga, Rasulullah S.A.W berihram dan mengerjakan umrah pada malam itu. Lalu, Rasulullah S.A.W menyuruh para tentera untuk kembali ke Madinah.
2) Jabal Nur
Jabal Nur adalah sebuah bukit kira-kira tiga kilometer dari Masjidil Haram, di sebelah kiri jalan ke Arafah.
Jabal Nur terletaknya Gua Hira yang menjadi tempat persinggahan Nabi Muhammad S.A.W saat menerima wahyu pertama dari Allah S.W.T melalui Malaikat Jibril. Di sinilah tempat Nabi Muhammad S.A.W sering beribadat dan bermunajat kepada Allah S.W.T selama tiga tahun.
Pada 17 Ramadhan, wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah S.A.W iaitu Surah al-Alaq ayat 1-5, yang meletakkan diri baginda S.A.W sebagai rasul.
3) Jabal Tsur
Jabal Tsur adalah gunung tertinggi di kota Makkah yang terletak kira-kira 5 km dari kota Makkah yang memiliki 3 puncak yang bersambung dan berdekatan.
Di sinilah tempat Rasulullah S.A.W dan Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq bersembunyi selama tiga hari, berlindung dari ancaman kafir Quraisy sebelum berhijrah ke Madinah.
4) Jabal Rahmah
Jabal Rahmah berada di bahagian timur Padang Arafah di kota Makkah. Di Lembah Jabal Rahmah, berlaku tiga peristiwa agung melibatkan tiga Nabi Allah S.W.T.
Peristiwa pertama adalah pertemuan Nabi Adam A.S dan Siti Hawa setelah dipisahkan dan diturunkan dari syurga oleh Allah S.W.T.
Peristiwa kedua adalah kisah mimpi Nabi Ibrahim A.S untuk menyembelih putera kesayangan baginda, Nabi Ismail A.S. dan peristiwa ketiga adalah turunnya wahyu Allah S.W.T yang terakhir kepada Nabi Muhammad S.A.W.
5) Padang Arafah
Padang Arafah merupakan daerah terbuka dan luas yang terletak di sebelah timur luar kota suci Makkah, disinilah umat Islam menunaikan rukun wukuf.
Peristiwa di Padang Arafah mengingat kembali dimana Nabi Adam A.S dan Siti Hawa diturunkan ke bumi dari syurga kerana ingkar perintah Allah S.W.T dan terpedaya oleh tipu daya Iblis.
Mereka telah dipisahkan di dunia dan mengambil masa yang lama untuk bertemu kembali.
6) Muzdalifah
Muzdalifah adalah suatu kawasan yang terletak di antara Mina dan Arafah di Arab Saudi. Kawasan ini merupakan sebahagian dari Tanah Haram iaitu tempat mengutip anak batu untuk melontar jamrah.
Umat Islam yang menunaikan ibadah Haji pada bulan Zulhijjah diminta untuk berada di Muzdalifah dan bermalam di sana hingga terbit fajar 10 Zulhijjah.
7) Mina
Mina merupakan sebuah lembah padang pasir yang terletak sekitar 5 km dari kota Makkah, Arab Saudi. Mina adalah tempat pelaksanaan ibadat melontar jamrah dalam ibadah haji.
Mina menjadi tempat bagi Nabi Ibrahim A.S melaksanakan perintah Allah S.W.T untuk menyembelih putranya, Nabi Ismail A.S dan pelaksanaan melontar jamrah.
Pelaksanaan melontar jamrah berlaku kerana Nabi Ibrahim A.S diuji oleh syaitan. Lalu, Nabi Ibrahim A.S melempar syaitan itu dengan batu. Oleh sebab itu, wajib ke atas setiap jemaah untuk melempar jumrah semasa mengerjakan haji.
8) Hudaibiyah
Hudaibiyah merupakan kota yang berada di sekitar 26 kilometer dari Masjidil Haram. Hudaibiyah menjadi pintu masuk kecemerlangan dan kemenangan kaum Muslimin dalam menaklukkan Kota Makkah.
Inilah tempat Rasulullah S.A.W dan kaum Quraisy Makkah membuat perjanjian untuk saling tidak menyerang. Ia membuka peluang umat Islam Madinah untuk mengislamkan penduduk Kota Makkah.
9) Muzium Al Amoudi
Muzium Al Amoudi terletak di daerah pinggiran Makkah, berdekatan El Shimeisi, Ia mengambil masa 15 minit dari Masjidil Haram dengan menaiki kenderaan.
Nama muzium ini diambil sempena dengan nama pemiliknya iaitu Abu Bakar Al Amoudi. Dari luar, reka bentuk Muzium Al Amoudi dibina menyerupai benteng kubu Arab lama dan mempunyai keunikan tersendiri.
Muzium ini lengkap dengan peradaban dan perlengkapan kehidupan masyarakat Arab di zaman dahulu.
Tamat sudah penerangan bahagian pertama berkaitan umrah ziarah Makkah. Untuk bahagian kedua berkaitan umrah ziarah Madinah, pastikan anda terus setia kekal bersama kami.
Untuk mendapatkan keterangan lanjut berkaitan ibadah umrah, boleh layari kami di laman sesawang www.cutiumrah.com.
Tunaikan Ibadah Umrah Bersama Kami
Anda berhajat untuk mengerjakan umrah? Pilihlah Cuti Umrah.
Dengan Cuti Umrah, anda akan menaiki penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Madinah.
Selain itu, pengurusan visa umrah juga akan diuruskan sepenuhnya oleh ejen berpengalaman. Hotel 5 bintang atau setaraf akan disediakan khas untuk anda.
Jangan risau, terdapat insurans dan perlindungan takaful dalam pakej umrah yang kami sediakan. Anda juga akan diiringi oleh mutawif yang berpengalaman dan terlatih.
Jadi, apa tunggu lagi, daftarlah sekarang.