Pelaksanaan Dam

Pelaksanaan Dam Dalam Ibadah

Pelaksanaan dam dalam ibadah adalah salah satu faktor yang perlu dititikberatkan oleh jemaah semasa mengerjakan haji dan umrah.
Tahukah anda perkara-perkara yang boleh dikenakan bayaran dam? Jika tidak, kami dari Cuti Umrah ingin kongsikan tentang apa itu dam dan pelaksanaan dam dalam ibadah haji dan umrah.
Nak tahu detail tentang pelaksanaan dam dalam ibadah, jom baca artikel ini.

 

Pengertian Dam

Dam pada bahasa bermaksud darah. Pada syara’ pula, dam bermaksud bayaran denda yang dikenakan ke atas seseorang jemaah yang mengerjakan haji atau umrah.

Dam terjadi kerana jemaah meninggalkan perkara-perkara wajib haji atau umrah atau melakukan perkara-perkara yang dilarang semasa mengerjakan haji atau umrah.

 

Dalil Pensyariatan Dam

Terdapat beberapa dalil yang menyebut tentang dam.

Antaranya, firman Allah S.W.T, di dalam Surah al-Baqarah, ayat 196:

Maksudnya: Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepung (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta), sembelihlah dam yang mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih dam. Kemudian, apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih dam yang mudah didapati. Kalau ia tidak dapat (mengadakan dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) Masjid al-Haram (Makkah). Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksa-Nya (terhadap orang yang melanggar perintah-Nya). 

 

Apakah Sebab Dikenakan Dam?

Antara sebab jemaah haji dan umrah dikenakan dam adalah kerana:

1) Meninggalkan perkara-perkara yang wajib bagi haji atau umrah.

2) Melakukan salah satu daripada larangan semasa dalam ihram haji atau umrah.

 

Hikmah Pelaksanaan Dam

Antara hikmah disyariatkan pelaksanaan dam adalah untuk:

1) Untuk menguji ketabahan dan kesabaran jemaah haji dan umrah dalam menunaikan kewajipan kepada Allah S.W.T.

2) Untuk mendidik jemaah supaya berhati-hati semasa melaksanakan ibadah haji dan umrah.

 

Pandangan Ulama’ Berkaitan Dam

Mengikut pandangan Ulama’ Syafi’i, denda satu dam adalah bersamaan dengan satu ekor kambing dan daging sembelihan tersebut perlu disedekahkan.

Jika tidak mampu, individu tersebut harus berpuasa selama 3 hari.

Jika tidak mampu juga, memberi makanan kepada 6 orang miskin, dimana setiap seorang sebanyak setengah gantang.

 

Jenis Dam 

Terdapat empat jenis dam haji dan umrah akan dikenakan terhadap jemaah yang tidak menyempurnakan rukun dengan sempurna, iaitu:

  1. Dam Tertib Dan Taqdir
  2. Dam Tertib Dan Ta’dil
  3. Dam Takhyir Dan Taqdir
  4. Dam Takhyir Dan Ta’dil

 

1) Dam Tertib Dan Takdir

Ia adalah dam yang dibayar mengikut susunan dan kadar yang ditentukan mengikut kemampuan dan ketetapan syarak.

Dam ini tidak boleh dipilih atau diganti.

Kesalahan:

1) Tidak berihram di miqat

2) Mengerjakan haji secara qiran atau tamattu’

3) Luput waktu di Arafah

4) Tidak bermalam di Mina

5) Tidak melontar jamrah

6) Melanggar nazar dalam mengerjakan ibadat haji

Bayaran:

  1. Menyembelih seekor kambing. sekira tidak mampu,
  2. Berpuasa 10 hari, 3 hari di Makkah dan 7 hari apabila pulang ke tempat masing-masing.

 

2) Dam Tertib Dan Ta’dil

Ia adalah dam yang boleh ditaksirkan (harganya) dan boleh ditukar kepada benda lain mengikut kemampuan masing-masing.

Kesalahan:

1) Melakukan persetubuhan sebelum tahallul pertama

Bayaran:

  1. Menyembelih seekor unta. sekira tidak mampu, 
  2. Menyembelih seekor lembu. sekira tidak mampu, 
  3. Menyembelih 7 ekor kambing. sekira tidak mampu, 
  4. Membeli makanan dengan nilai harga unta dan disedekahkan kepada fakir miskin. sekira tidak mampu, 
  5. Berpuasa beberapa hari mengikut bilangan cupak makanan yang boleh dibeli dengan nilai seekor unta.

2) Terhalang daripada memasuki Mekah setelah berniat ihram

Bayaran:

  1. Menyembelih seekor kambing dan bercukur. sekira tidak mampu,
  2. Membeli makanan dengan nilai harga kambing dan bercukur. sekira tidak mampu.
  3. Membeli makanan dengan harga kambing disedekahkan kepada fakir miskin. sekira tidak mampu,
  4. Berpuasa beberapa hari mengikut bilangan cupak makanan yang boleh dibeli dengan nilai harga kambing.

 

3) Dam Takhyir Dan Takdir

Ia adalah dam yang boleh ditunaikan mengikut pilihan sendiri.

Kesalahan: 

1) Memakai pakaian yang bersarung atau berjahit bagi lelaki

2) Memakai bau-bauan

3) Memotong kuku

4) Bersetubuh kali kedua sebelum tahallul awal

Bayaran: 

  1. Menyembelih seekor kambing dan disedekahkan kepada fakir miskin. atau,
  2. Bersedekah 2 cupak makanan kepada enam orang fakir miskin. atau,
  3. Berpuasa selama 3 hari.

 

4) Dam Takhyir Dan Ta’dil

Ia adalah dam mengikut kadar pembayarannya bergantung kepada pilihan sendiri dan tidak ditetapkan.

Kadar dam adalah berdasarkan harga yang sebanding.

Kesalahan:

1) Berburu binatang darat

2) Menebang, memotong, atau mencabut pohon di Tanah Haram

Bayaran:

  1. Menyembelih binatang ternakan yang sebanding dengan binatang buruan itu. atau,
  2. Membeli makanan dengan nilai harga binatang buruan itu. atau,
  3. Berpuasa mengikut bilangan cupak makanan yang dibeli dengan harga binatang buruan itu.

 

Bayaran dam ini bergantung kepada jenis-jenis kesalahan larangan dan ianya tidak sama antara satu kesalahan dengan kesalahan yang lain. Pembayaran dam hanya boleh dilakukan di Makkah sahaja.

Oleh itu, jemaah perlu sentiasa berwaspada dan berhati-hati dalam melaksanakan ibadah haji dan umrah agar tidak dikenakan bayaran dam.

 

Sebarang maklumat lanjut, anda boleh layari www.cutiumrah.com ataupun boleh bertanya terus kepada pihak kami untuk keterangan lebih lanjut.

 

Tunaikan Ibadah Umrah Bersama Kami

Anda berhajat untuk mengerjakan umrah? Pilihlah Cuti Umrah.

Dengan Cuti Umrah, anda akan menaiki penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Madinah.

Selain itu, pengurusan visa umrah juga akan diuruskan sepenuhnya oleh ejen berpengalaman. Hotel 5 bintang atau setaraf akan disediakan khas untuk anda.

Jangan risau, terdapat insurans dan perlindungan takaful dalam pakej umrah yang kami sediakan. Anda juga akan diiringi oleh mutawif yang berpengalaman dan terlatih.

Jadi, apa tunggu lagi, daftarlah sekarang.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *